Jangan biarkan waktu berlalu...


Orang-orang yang banyak waktu kosong dalam hidupnya, biasanya akan menjadi penyebar desas-desus dan khabar angin yang tidak mendatangkan manfaat. Hal itu kerana akal fikiran mereka selalu melayang-layang tidak tentu arah.

"Mereka suka tinggal bersama-sama orang-orang yang ditinggalkan (kerana uzur)."

(Surah At-Taubah: 87)

Keadaan yang paling berbahaya bagi akal adalah apabila tuan punyanya menganggur dan tidak berbuat apa-apa. Orang seperti itu tidak ubah seperti kereta yang berjalan dengan laju tanpa pemandu akan mudah terbabas ke kanan dan ke kiri. Jika ada suatu hari anda mendapati diri anda menganggur tanpa kegiatan, bersiaplah untuk bersedih hati, risau dan cemas. Kerana dalam keadaan kosong itulah fikiran anda akan merawang ke mana-mana; dari mengigati kegelapan masa lalu, menyesali kesialan masa kini, hingga mencemaskan gelapnya masa depan yang belum tentu anda alami. Dan ia membuat akal fikiran anda tidak terkawal dan mudah menerawang ke mana-mana.

Justeru itu, saya nasihatkan kepada anda dan diriku sendiri bahawa mengerjakan amalan-amalan yang mendatangkan manfaat adalah lebih baik daripada berlama-lama dalam kekosongan yang membinasakan. Pendek kata, membiarkan diri dalam kekosongan itu sama halnya dengan bunuh diri dan merosak tubuh dengan dadah.
Waktu kosong itu tidak ubah seperti seksaan halus ala penjara cina; Meletakkan si penjenayah di bawah paip air yang hanya dapat menitiskan air satu titis tiap-tiap minit selama bertahun-tahun. Dan dalam masa penantian yang panjang itulah, biasanya banduan akan menjadi sangat tertekan dan akhirnya gila.

Kerana itu bangkitlah sekarang juga; kerjakan solat, baca buku, bertasbih, mengkaji, menulis, mengemaskan meja kerja, bilik tidur, atau berbuatlah sesuatu yang mendatangkan manfaat bagi orang lain untuk menghalau kekosongan itu. Sebab saya ingin mengigatkan anda supaya tidak berhenti sebentar pun dari melakukan sesuatu yang mendatangkan manfaat.

Bunuhlah setiap waktu kosong dengan kesibukan. Dengan cara itu, pakar kesihatan berani menjamin bahawa anda sudah mencapai kebahagiaan 50%. Perhatikanlah keadaan petani, nelayan, dan buruh binaan, mereka sentiasa gembira sambil bernyanyi lagu-lagu rentak gembira seperti burung-burung di alam bebas. Mereka tidak seperti anda yang tidur di atas tilam empuk, tetapi sentiasa gelisah dan melap air mata secara diam-diam.